Wednesday, July 26, 2017

Catatan seminggu di Kota Medan (Hari Pertama)



20 Julai 2017

Pesawat Air Asia, QZ125 pun mendarat dengan cermatnya di Lapangan Terbang Kuala Namu, Medan pada jam 2.40 petang waktu Indonesia. Penerbangan yang memakan masa kurang sejam itu membuatkan aku terasa ibarat dari kota Izmir ke kota Istanbul sewaktu di Turki dahulu. Syarikat penerbangan Pegasus pula sentiasa sahaja menjadi pilihanku, memandangkan ianya murah dan selesa seperti Air Asia. Yang pasti, bukan untuk sebahagian orang.

Lepak di NZ bersama ayahku sewaktu di KLIA 2. 

Keluar sahaja dari pesawat. Aku dengan tenangnya terus ke bahagian imigresen untuk tujuan pengesahan pasport. Di situ kelihatan tidak begitu ramai orang, walhal ketika di dalam pesawat tadi, aku melihat kerusi-kerusi dipenuhi dengan penumpang. Oh ternyata kebanyakan mereka itu adalah orang-orang Indonesia yang mempunyai bahagian khas untuk pengesahan pasport.

Aku turut diarahkan supaya mengisi sebuah borang kastam dan diberikan kepada salah seorang petugas Imigresen. Ketika itu aku agak sedikit terburu-buru, maklumlah tak nak membuatkan keluarga Medanku menunggu dengan lama. Bagasi kecil warna biru yang aku beli sewaktu di Itali dulu diserek dengan laju, lalu rodanya menjadi agak sedikit longgar dan jatuh dari tanganku. Maka berbunyilah siren kecemasan di situ dek kerana bunyinya yang kuat ibarat letupan bom. Ha ha!

Aduhai, ianya benar-benar memalukan aku. Nasib baik pak Polisi di situ bersikap bersahaja dengan aku. Mungkin kali pertama aku di lapangan terbang fikir mereka! Sebaik sahaja keluar dari tempat yang memerahkan wajahku yang sedia ada gelap kerana malu dengan kes letupan bagasi tadi, lalu di satu sudut tempat menunggu, aku melihat seseorang melambai-melambai ke arahku sambil memanggil namaku. Thaqib!

Oh itulah kak Musniaty atau dengan nama panggilan manjanya, kak Cilik. Aku berjalan menuju ke arah mereka dengan sekumit senyuman penghargaan di atas kesabaran mereka menunggu aku sejak sejam yang lalu. Turut bersama kak Cilik ialah adiknya, Ghulfan atau dipanggil Pipon, adik perempuannya Nana bersama anak kecilnya, Icah dan yang paling teristimewa ialah Hajjah Nazwati yang aku panggilnya sebagai atok! Wajah-wajah yang menjemput aku inilah merupakan orang yang sama sewaktu kali pertama aku bertemu mereka di Kuala Lumpur sempena perhimpunan keluarga Datuk Rastam pada 8 Julai yang lalu.  

Kami beramah mesra sebentar sambil menunggu bang Pipon mengambil keretanya. Icah pula yang hanya di dalam dakapan kak Nana kelihatan takut melihat aku, ditenungnya dengan penuh persoalan sama seperti anak buahku dahulu, Myiesha Maisarah yang pada awalnya tidak begitu mengenali aku. Manakan tidak, sewaktu dia kecil lagi aku sudah pun berlepas ke Turki dan selepas setahun pula, aku pulang semula ke rumah. Memang makan masalah untuk dia merasa selesa dengan aku. Tapi sekarang dia begitu manja juga denganku.

Icha merenung aku persis polis yang mencurigai sesuatu
Kereta yang dipandu abang Pipon pun menelusuri keluar daripada lapangan terbang. Selepas sekitar 30 minit, kami pun sampai ke kota Medan. Ya rabbi! Kesesakan lalu lintas atau macet kata orang Indonesia begitu teruk sekali, tidak seperti di Kuala Lumpur. Maaf sekiranya tidak keterlaluan untuk aku katakan bahawa kesedaran atau disiplin orang-orang di sini di dalam pemanduan memang kurang sama seperti di Turki juga. Dengan jalan yang agak sempit dan tidak berturap menjadikan aku ibarat sedang menunggang kuda di awal abad ke 20!

Cuaca di Kota Medan pula panas terik seperti di Kuala Lumpur dan terkadang itu hujan. Bangunan-bangunan lama dan klasik turut menghiasi kaki-kaki jalan. Bila dilihat berkali-kali, ternyata suasana masyarakat dan struktur bangunan di sini kelihatan lebih kurang seperti di Negeri Kedah dan Kelantan, cuma tidaklah sesesak itu. Kata kak Cilik, sekarang mereka akan bawakan aku ke rumah adiknya terlebih dahulu, Khairul atau dikenali sebagai Wiwi. 

Rumah bang Wiwi yang besar itu tersergam indah di sebalik sudut jalan. Ketibaan kami dirumahnya di sambut oleh Ezra iaitu anak kepada kak Nana yang masih bersekolah. Kata Atok, rumah yang besar ini sentiasa sahaja sepi memandangkan bang Wiwi dan isterinya bekerja dan balik lewat malam sementara anak mereka pula balik lewat petang. Ezra pula menumpang di rumah bang Wiwi kerana sekolahnya terletak di situ juga. Pada hari minggu dia akan pulang semula ke kampung halamannya, rumah kak Nana. 

“Kita makan Bakso ya?” Kata kak Cilik sambil menahan sebuah motor yang menjual bakso. Aku yang lapar bersetuju sahaja. Oh Tuhan! Rasanya benar-benar sedap sekali, kalau boleh dengan mangkuk itu juga mahu ditelan aku, tetapi apakan daya, mangkuk itu adalah hak milik penjual tersebut. aku menikmati keenakan bakso itu agak lama sehingga penjual tersebut masuk ke rumah dan meminta semula mangkuknya. Aduh, kali ke dua aku merasa malu pada hari yang sama! Ha ha.

Selang sejam kemudian, bang Wiwi pun tiba di rumah. Lantas aku bangkit dan berjabat tangan dengannya. Ternyata aku pernah melihatnya hari itu di KL bersama-sama kak Cilik dan keluarganya, cuma tidak berkesempatan untuk berbual. Sekali imbas, bang Wiwi kelihatan seperti kebanyakan orang lain. Simple, selamba dan sempoi. Tetapi selepas atok memaklumkan kepada aku tentang pekerjaan dan perniagaannya. Aku merasa terkejut, kagum dan hormat!

Bersama bang Wiwi yang segak di rumahnya
Bang Wiwi merupakan salah seorang pegawai tinggi kerajaan di Kota Medan bahkan turut menjalankan sebuah projek perumahan semenjak 4 tahun yang lalu. Apa yang paling mengkagumkan aku ialah layanan yang diberikan oleh bang Wiwi kepada orang biasa-biasa seperti aku memang begitu baik sekali. Air kelapa pemberiannya yang enak itu membasahi tekak aku yang begitu dahaga semenjak tiba di lapangan terbang lagi.

Azan asar pun berkumandang menandakan waktu solat sudah pun berkunjung tiba. Lalu atok dan kak Cilik meminta kebenaran untuk solat sebentar. Sementara aku pula telah mejamak qasarkan solat aku sewaktu di KLIA 2. Alhamdulillah dengan keringanan yang diberikan Islam kepada mereka yang bermusafir. Tamat solat, kami semua ke sebuah restoran yang tidak begitu jauh dari rumah bang Wiwi, iaitu Atu Coffee.

Restorannya terletak di hadapan jalan itu tidaklah begitu besar tetapi cantik dengan hiasan dan dekorasi dalamannya. Bang Pipon syorkan kepada aku supaya makan satay padang, katanya sedap. Sebenarnya satay padang tidaklah mengejutkan aku tetapi apa yang mengejutkan aku ialah mendengar bang Pipon akhirnya bersuara. Ha ha. Bang Pipon ini sangat aku hormati. Dia memang tidak banyak bercakap, tetapi sekali dia bersuara, masya Allah. Semuanya positif belaka! Aku memang terhibur bercakap dengan bang Pipon.

Di Atu Coffee bersama Ezra, bang Pipon kak Nana (tudung hitam), Atok dan kak Cilik.
Ezra pula yang duduk di sebelah aku khusyuk bermain telefon, lalu aku pun mengusiknya. Kata kak Nana, Ezra bercita-cita untuk menjadi seorang polis. Wah! Hebat cita-citanya. Aku pula memberikan pendapat bahawa Ezra memang layak menjadi seorang polis memandangkan ketinggian dan kekemasannya. Cuma belum cukup syarat lagi dan aku tanyakan satu soalan kepada Ezra, “Apakah objektif awak untuk menjadi seorang polis?”. Suaranya yang lembut itu memberikan jawapan yang menggegarkan kepala aku.

“Aku mahu membanteras narkoba (dadah)!”. Katanya sambil menekan papan kekunci telefon bimbitnya. Ini macamlah Ezra! Sememangnya dadah itu musuh nombor 1 negara. Bukan sahaja menghancurkan diri sendiri bahkan masyarakat setempat, apatah lagi memikirkan dengan nasib generasi pada masa hadapan kelak. Ayuh kita doakan supaya impian adik Ezra yang mulia ini menjadi kenyataan. Dialah Hero kita nanti. 

Lama juga kami duduk di restoran tersebut dengan ditemani hujan yang lebat. Atok memberitahu aku bahawa restoran ini dikelolai dari kalangan keluarga mereka juga sambil menunjukkan ke arah seorang lelaki yang kelihatan agak berumur sedang melayan pelanggan. Aku melihatnya sekali sudah boleh dicam. Itulah Tengku Khawaled yang pernah memberi ucapan sewaktu perhimpunan keluarga di KL tempoh hari. Cuma sewaktu itu kepalanya disarung dengan songkok. 

Satay padang yang mengiurkan korang yang tengok
Selain daripada cuti melancong ke Medan, aku turut mempunyai satu lagi objektif iaitu mencari salasilah Syekh Muhammad Abdul Hamid yang merupakan moyang aku. Dia pernah hidup di sini sebelum berpindah ke Malaya dahulu. Aku telah pun menceritakan hasrat itu kepada kak Cilik dan keluarganya sebelum ke Medan lagi. Bang Wiwi yang faham, menjemput aku supaya esok mengikutinya solat Jumaat di Masjid Raya. 

Di sana nanti, dia akan membawa aku berjumpa dengan Raja Muda dan melawat Istana Maimon yang pernah menjadi singgahsana Sultan-sultan Deli. Katanya juga di situ merupakan tempat Syekh Muhammad pernah bekhidmat sebagai penasihat agama Sultan. Bertambah-tambah teruja aku dibuatnya. Tidak sabar pula untuk aku menulusuri jalur keturunanku.

Puas bersembang, lalu kami berangkat pulang. Aku yang merupakan seorang tetamu hanya sekadar mengikut sahaja ke mana mereka pergi tanpa banyak soal. Kata bang Wiwi, malam ini tidur sahaja di rumahnya dan esok juga boleh pergi ke rumah kak Cilik di kampung. Malam pertama aku di kota Medan di tutup dengan perasaan gembira dan hati yang puas sementara menunggu ketibaan hari esok yang aku yakin ianya pasti lebih indah lagi.

Bersambung...

No comments: